Jumaat, 18 Mac 2011

CONTOH KARANGAN HIDUP CERIA TANPA DADAH

   Apabila anda mendengar ungkapan "Enam Jahanam", apakah yang mungkin anda fikirkan? Adakah itu judul sebuah filem klasik P. Ramlee atau nama kumpulan penjenayah yang diburu oleh pihak polis? Rupa-rupanya, ungkapan itu merujuk kepada enam jenis dadah yang harus diberi perhatian serius kerana penyalahgunaannya yang meluas di era kini. Antara jenis-jenis dadah yang dikatakan sebagai "Enam Jahanam" itu ialah heroin, kokain, ecstasy, kanabis, syabu dan morfin. Sewaktu melancarkan "Karnival Enam Jahanam", bekas Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyatakan bahawa isu dadah di Malaysia sekarang ini berada pada tahap yang berbahaya. Oleh itu, kerajaan mengisytiharkan dadah harus diperangi hingga ke akar umbi kerana dadah merupakan musuh nombor satu negara. Apakah sebenarnya dadah? Dadah pada asalnya ialah bahan perubatan yang merupakan bahan kimia psikoaktif dan mempunyai kesan ke atas sistem saraf pusat seperti menyebabkan keadaan khayal, ketagihan dan gangguan tingkahlaku. Penyalahgunaanya yang berterusan mendatangkan kerosakan kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.

 
    Remaja yang merupakan insan yang mampu melakukan anjakan paradigma suatu hari nanti sering dijadikan sebagai buah mulut rakyat malaysia mahupun dunia kerana penglibatan diri mereka dalam gejala syaitan ini yang akan menghancurkan masa depan seseorang mangsa dadah. Kita diterapkan supaya tidak mendekatkan diri dengan habuan dari neraka ini sejak kecil sebagaimana yang telah diterangkan oleh kedua ibu bapa kita bahawa betapa bahayanya penyalahgunaan dadah terhadap diri sendiri. Remaja yang yang bakal merealisasikan impian diri kini telah menjadi seperti iblis bertopengkan manusia kerana mereka menganggap bahawa dadah itu sebagai teman mereka ketika menghadapi masalah. Sebagai penjelasan, mereka menggunakan dadah untuk menjadikan diri mereka separuh sedar untuk melupakan segala masalah yang timbul di fikiran mereka. Keadaan menjadi semakin parah apabila pengambilan dadah di kalangan remaja dianggap sebagai perkara biasa tetapi mereka tidak sedar bahawa diri mereka semakin dekat dengan kematian. Adakah mereka akan hidup dengan ceria, harmoni, dan selesa apabila dipenuhi oleh kesengsaraan yang berlaku kepada diri mereka sendiri? Fikirkan.
 
    Sebagai pengarang yang amat mengambil berat dalam hal yang dibingcangkan, saya sering tertanya-tanya adakah mereka yang terlibat dalam gejala dadah ini akan sedar pada suatu hari nanti akan keburukan jika mendekati hidangan daripada neraka ini? Kini, remaja yang merupakan individu yang kental dalam mengharungi onak dan duri kehidupan di dunia yang semakin maju ini akan tewas akan desakan hantu-hantu manusia yang tidak memberi apa-apa sumbangan hidup pada bumi hijau ini untuk mencuba najis dadah sepertimana yang mereka lakukan. Kita semua sedar bahawa hidup kita akan ceria tanpa dadah, tetapi mengapa ramai lagi manusia yang masih terlibat dalam perkara yang semakin menjadi-jadi ini? Persoalan demi persoalan sering bermain di akal fikiran kita sendiri, masyarakat, dan tidak lupa juga kepada pihak kerajaan di Malaysia. Hal ini terbukti bahawa semua pihak sudah menggembleng tenaga memainkan peranan dalam menghindarkan dadah daripada kehidupan seharian rakyat yang sudah terjebak dalam gejala yang tidak membawa apa-apa faedah pada masa hadapan. Untuk membuktikan apa yang telah pihak kerajaan lakukan, kita sebagai rakyat di Malaysia ini pasti sedar bahawa pihak kerajaan sudah melakukan berbagai-bagai kempen "Anti Dadah" tidak kira di mana sahaja. Wahai rakyat Malaysia yang di anggap sebagai rakyat yang akan mengharumkan nama nusa dan bangsa kini telah menjadi seperti angan-angan yang cukup tinggi kerana rakyat Malaysia kini sudah ramai yang terpesong ke arah yang lebih kepada kekesalan dan tewas untuk memperkuatkan diri daripada terjebak mahupun termasuk dalam golongan yang dipandang hina oleh semua lapisan umur tidak kira kanak-kanak, remaja, mahupun peringkat dewasa. Golongan muda yang terlibat dalam penagihan dadah merupakan pemuda-pemudi harapan bangsa dan negara dan terjerumusnya mereka dalam alam khayalan ini mengakibatkan mereka bukan sahaja tidak berguna kepada masyarakat bahkan diri mereka sendiri.
 
    Sebagai bukti lain, kajian oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan kegiatan penagihan dadah lazimnya bermula dengan tabiat menghisap rokok. Ini kerana tabiat ketagihan dihasilkan oleh unsur nikotin yang terdapat dalam rokok. Apabila merasakan rokok tidak memberi kepuasan, mereka beralih kepada ganja dan sekiranya ganja juga tidak memberi keseronokan, mereka akan beralih kepada heroin dan morfin. Kita semua tahu bahawa manusia sememangnya mempunyai sikap tidak pernah puas dengan apa yang sudah diperolehi. Jelasnya, pencegahan tabiat merokok juga penting dalam memerangi najis dadah kerana implikasinya terhadap dorongan untuk mendapatkan dadah. Tambahan pula, terdapat banyak kedai-kedai runcit yang menjual rokok seludup dengan harga yang jauh lebih murah berbanding dengan harga rokok yang diimport. Lantas, masyarakat harus sedar akan kesan pengambilan dadah dan keburukan dadah. Ini menyebabkan ramai remaja yang dianggap sebagai insan kerdil ciptaan tuhan ini lebih mudah untuk mendapatkan apa yang mereka mahu dengan bermodalkan wang yang sedikit. Mereka menganggap bahawa dengan mengeluarkan wang yang sedikit tetapi dengan kepuasan yang mereka dapat adalah sangat berbaloi. Dimanakah akal fikiran mereka? Adakah wang perbelanjaan sekolah yang diberikan oleh kedua ibu bapa mereka habis dibelanjakan kearah dengan perkara yang boleh merosakkan diri mereka sendiri?
 
 
    Dengan berfikiran rasional, mereka tentu tidak sanggup menerima risikonya yang menakutkan. Antara kesan-kesannya ialah mendapat penyakit meningitis, penyakit jangkitan jantung, AIDS, Hepatitis B, C, dan D, kerosakan buah pinggang, otot-otot badan mengecut dan berkemungkinan lumpuh. Kesan fizikal pula ialah apabila sekiranya bekalan dadah tidak diperoleh mereka akan berasa keluh-kesah, gian, dan amat menderita. Jelasnya mereka akan berperang dengan kematian kerana terdedah dengan penyakit terutamanya penyakit AIDS yang amat digeruni. Adakah keadaan yang kritikal ini dianggap membawa keceriaan dalam hidup mereka? Semestinya tidak. Pernyataan Melayu lama iaitu nasi sudah menjadi bubur sepatutnya menjadikan diri kita sentiasa lebih bersedia supaya kita tidak menyesal di kemudian hari dalam apa jua situasi mahupun ujian besar yang diberikan oleh Allah S.W.T.. Kebahagiaan hidup dan kesengsaraan hidup, semuanya datang daripada yang Maha Esa.. Mereka yang sudah terjebak dalam gejala najis dadah ini sudah pastinya tidak mendapat didikan agama yang cukup untuk mengawal nafsu ingin mencuba perkara yang dilarang sekeras-kerasnya oleh sesiapa sahaja. Hal ini boleh dihuraikan lagi dengan menyatakan bahawa sekolah merupakan peranan penting untuk mengurangkan golongan muda mudi ini terdedah akan penyalahgunaan dadah. Dalam kata lain, sekolah juga boleh dikatakan sebagai pihak yang menjadi harapan negara sebagai pemberi didikan awal tentang buruknya kesan dadah kepada diri mereka yang akan terjebak.
 
    Kesimpulannya, kita harus bertekad dengan keazaman yang tinggi untuk memerangi dadah. Najis dadah akan kita kuburkan dan wujudlah suasana dadah sifar. Marilah kita bersama-sama menghapuskan najis dadah yang menghalang masyarakat daripada terus menjadi modal insan yang cemerlang di negara kita iaitu Malaysia. Kita tiada pilihan melainkan hanya satu slogan di hati dan di minda pada setiap masa iaitu "Perangi Dadah Habis-Habisan". Terima kasih.